Faculty of Management UTMmenganjurkan Wacana Intelektual MADANI membuka perbincangan signifikan mengenai peranan kecerdasan buatan atau AI apabila ia dibangunkan dan diguna pakai berlandaskan nilai Tauhid sebagai tonggak pembentukan ummah. Program diadakan di Dewan Konvensyen Fakulti Pengurusan itu menampilkan dua tokoh ilmuwan berpengaruh iaitu Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus sebagai panel pertama dan Prof. Dr. Rose Alinda Alias sebagai panel kedua, manakala sesi dipengerusikan oleh Prof. Dr. Norhayati Zakuan selaku moderator.
Prof. Durrishah menjelaskan bahawa AI berteraskan Tauhid membawa maksud penyatuan manusia sebagai ummah meskipun berbeza latar. Prinsip keesaan menjadi asas penyatuan pemikiran dan harus diterjemah dalam dasar pembangunan masa depan. Beliau menegaskan bahawa nilai Tauhid menuntut setiap tindakan bermula dengan niat yang betul, kerana niat menentukan hala tuju dan kesan terhadap masyarakat. Walaupun dunia moden sarat dengan aliran pemikiran yang pelbagai, beliau yakin nilai Tauhid tetap mampu diterima jika diperjelas dengan cara yang tepat.
Beliau turut menekankan amanah pemimpin dalam memastikan tadbir urus AI berpaksikan nilai. Ketua institusi perlu mengintegrasikan nilai Tauhid dalam keputusan, termasuk memahami keperluan manusia dan persekitaran. Pelaksanaan digitalisasi di institusi pendidikan memerlukan kos dan perancangan teliti, namun penting untuk mewujudkan pentadbiran yang cekap. Menurut beliau, teknologi sememangnya bermanfaat tetapi mesti diguna dengan nilai kemanusiaan agar tidak disalah guna dalam ekosistem digital yang semakin kompleks.
”𝘔𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘣𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘮𝘦𝘭𝘦𝘵𝘢𝘬𝘬𝘢𝘯 𝘈𝘐 𝘥𝘪 𝘵𝘦𝘮𝘱𝘢𝘵 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘭𝘦𝘣𝘪𝘩 𝘵𝘪𝘯𝘨𝘨𝘪 𝘥𝘢𝘳𝘪𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘥𝘪𝘳𝘪𝘯𝘺𝘢. 𝘈𝘐 𝘪𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘤𝘪𝘱𝘵𝘢𝘢𝘯 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢 𝘥𝘢𝘯 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘮𝘦𝘮𝘪𝘭𝘪𝘬𝘪 𝘬𝘶𝘢𝘴𝘢 𝘮𝘶𝘵𝘭𝘢𝘬. 𝘖𝘭𝘦𝘩 𝘪𝘵𝘶, 𝘱𝘦𝘯𝘨𝘨𝘶𝘯𝘢 𝘱𝘦𝘳𝘭𝘶 𝘣𝘦𝘳𝘱𝘦𝘨𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘯𝘪𝘭𝘢𝘪 𝘛𝘢𝘶𝘩𝘪𝘥 𝘢𝘨𝘢𝘳 𝘵𝘦𝘬𝘯𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘶𝘢𝘴𝘢𝘪 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢,” 𝘶𝘫𝘢𝘳 𝘣𝘦𝘭𝘪𝘢𝘶.
Beliau menegaskan pentingnya usaha dan tawakal sebagai prinsip hidup; manusia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi sehingga mengabaikan peranan akal dan ikhtiar.
Panel kedua, Prof. Dr. Rose Alinda, menyatakan bahawa AI harus dilihat sebagai alat manakala manusia ialah pengguna yang menentukan hala tuju penggunaan. Nilai Tauhid bukan bertujuan mengislamkan teknologi, tetapi membentuk manusia sebagai khalifah yang bijaksana dalam mengurus ciptaan. Keupayaan berfikir dan menilai menjadikan manusia mampu menentukan manfaat teknologi tanpa rasa takut akan digantikan oleh mesin.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan algoritma perlu bermula dengan niat yang betul. Dalam konteks pendidikan, pelajar lazimnya terus diajar kod dan algoritma tanpa memahami asas etika.
”𝘕𝘪𝘭𝘢𝘪, 𝘢𝘮𝘢𝘯𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘯𝘪𝘢𝘵 𝘮𝘦𝘴𝘵𝘪 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘢𝘴𝘢𝘴 𝘱𝘦𝘮𝘣𝘦𝘭𝘢𝘫𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘵𝘦𝘬𝘯𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪. 𝘈𝘐 𝘣𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘥𝘪𝘬𝘭𝘢𝘴𝘪𝘧𝘪𝘬𝘢𝘴𝘪 𝘴𝘦𝘣𝘢𝘨𝘢𝘪 𝘩𝘢𝘭𝘢𝘭, 𝘩𝘢𝘳𝘢𝘮 𝘢𝘵𝘢𝘶 𝘴𝘺𝘶𝘣𝘩𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘳𝘨𝘢𝘯𝘵𝘶𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘯𝘪𝘢𝘵 𝘥𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘨𝘶𝘯𝘢𝘢𝘯𝘯𝘺𝘢. 𝘌𝘮𝘱𝘢𝘵 𝘦𝘭𝘦𝘮𝘦𝘯 𝘶𝘵𝘢𝘮𝘢 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘱𝘦𝘯𝘨𝘨𝘶𝘯𝘢𝘢𝘯 𝘈𝘐 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘴𝘵𝘪 𝘥𝘪𝘢𝘮𝘣𝘪𝘭 𝘬𝘪𝘳𝘢 𝘪𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘯𝘪𝘢𝘵, 𝘪𝘭𝘮𝘶, 𝘢𝘮𝘢𝘭𝘢𝘯 𝘣𝘦𝘳𝘦𝘵𝘪𝘬𝘢 𝘥𝘢𝘯 𝘳𝘢𝘩𝘮𝘢𝘩 𝘵𝘦𝘳𝘩𝘢𝘥𝘢𝘱 𝘮𝘢𝘴𝘺𝘢𝘳𝘢𝘬𝘢𝘵,” 𝘫𝘦𝘭𝘢𝘴 𝘣𝘦𝘭𝘪𝘢𝘶.
Mengulas kedudukan Malaysia dalam pembangunan AI yang beretika, Prof. Rose berkata kurikulum perlu dirangka secara inklusif agar pembinaan bakat teknologi melibatkan seluruh lapisan masyarakat. Teknologi tanpa tadbir urus yang baik tidak mampu menjamin keadilan. Oleh itu, kerjasama antara pakar teknologi, syariah dan undang-undang penting bagi memastikan dasar negara sentiasa seimbang dan berpaksikan nilai.
Beliau turut menyentuh peranan wanita dalam pembangunan AI. Wanita perlu diperkasa kerana mereka mempunyai kepekaan terhadap nilai dan perubahan sosial. Namun keseimbangan tetap perlu agar pembangunan teknologi berlaku secara kolektif bersama kaum lelaki.
Wacana Intelektual MADANI ini merumuskan bahawa AI berteraskan Tauhid bukan sekadar slogan, tetapi kerangka pemikiran yang menuntut niat, amanah, ilmu dan tanggungjawab. Wacana ini menyerlahkan kepentingan memimpin teknologi dengan nilai ketuhanan agar pembangunan masa depan memacu kemajuan tanpa mengabaikan asas kemanusiaan.
Kredit Gambar dan Berita : HEK, UTM
#WacanaIntelektual
#MalaysiaMadani
#majlisprofesor
Share via
Copy link
Powered by Social Snap