Sepanjang Minggu Peperiksaan Akhir Semester I Sesi 2025/2026, Faculty of Management UTM melalui Jawatankuasa Endowmen FM telah melaksanakan Program Sarapan Peperiksaan Percuma (Free Exam Breakfast) sebagai tanda sokongan dan keprihatinan fakulti terhadap kebajikan pelajar.
Program ini berlangsung dari 26 Januari hingga 4 Februari 2026, setiap pagi dari 8.10 hingga 8.40 pagi di Lobi, Fakulti Pengurusan, dan memberi manfaat kepada 100 pelajar terawal setiap hari yang hadir awal untuk menduduki peperiksaan.
Dengan menyediakan sarapan ringkas, fakulti berharap pelajar dapat memulakan pagi peperiksaan dengan lebih tenang, berfokus dan tersusun, tanpa perlu risau tentang sarapan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. Kehadiran pelajar seawal pagi dan sambutan yang sangat menggalakkan menunjukkan bahawa inisiatif kecil ini memberi impak besar kepada kesejahteraan dan emosi pelajar.
Sebagai sokongan kepada amalan lestari, cawan kertas turut disediakan bagi membolehkan pelajar menggunakan mesin penapis air sedia ada di fakulti. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan pelajar, malah menggalakkan pengurangan penggunaan botol air mineral sekali guna, selari dengan usaha Fakulti Pengurusan ke arah kampus yang lebih hijau dan bertanggungjawab.
Program ini bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi mencerminkan nilai keprihatinan, kebersamaan dan sokongan fakulti terhadap kejayaan akademik pelajar. Semoga usaha kecil ini terus memberi makna dan menjadi sebahagian daripada budaya prihatin di Fakulti Pengurusan UTM.
Terima kasih kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
#FreeBreakfastProgram
#UTMASCEND2030
#facultyofmanagement
